Saturday, April 25, 2009

SELANGOR JUARA PIALA FA 2009!






VIVA SELANGOR! VIVA SELANGOR! VIVA SELANGOR!

Selangor akhirnya berjaya meranapkan impian Kelantan untuk menjulang Piala FA apabila berjaya menumbangkan pasukan Red Warrior tersebut dengan kelebihan penalti 4-1 setelah perlawanan sbenar tamat dengan kedudukan 1-1 di Stadium Bukit Jalil sebentar tadi.

Perlawanan yang disaksikan lebih 80,000 penonton menyaksikan persembahan mantap kedua-dua pasukan apabila mereka saling menyerang pantas sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan.

10 minit pertama menyaksikan Selangor menguasai hampir keseluruhan permainan dengan melakukan beberapa siri serangan pantas ke kubu Kelantan. Namun kekentalan benteng Red Warrior berjaya menjadi tembok mujarab bagi mereka untuk menghalang kemaraan Selangor.

Hampir 15 minit permainan, Kelantan mula berjaya menguasai rentak permainan dengan banyak melakukan aksi-aksi merbahaya di hadapan gawang Selangor. Serangan demi serangan mereka hampir-hampir mengucar-kacirkan pertahanan Red Giant namun kekentalan kubu Selangor yang diketuai oleh Sharul Anuar Baharom berjaya menyekat serangan bertubi-tubi dari Kelantan.

Selangor seharusnya mendahului pada minit ke-25 namun Safee Sali gagal menyudahkan peluang yang terhidang di hadapan gawang mereka. Kelantan juga kerapkali melakukan serangan pantas melalui tonggak mereka, Indra Putra sehingga menggamatkan suasana sorakan di Stadium Bukit Jalil.

Separuh masa pertama berakhir dengan 0-0.

Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan mula menggandakan asakan ke kubu Selangor. Indra Putra hampir meletakkan Kelantan di depan namun sepakan kencang beliau hanya singgah di palang gol Selangor sekaligus membuatkan puluhan ribu penyokong Red Giant menarik nafas lega.

Selangor turut mempunyai beberapa siri peluang yang agak menarik namun kerapkali berjaya dihalang oleh persembahan mantap oleh penjaga gol Kelantan yang bijak membaca arah bola dengan tepat serta pantas. Bolehlah dikatakan bahawa bahawa kekuatan sebenar pasukan Kelantan terletak kepada kecekapan penjaga gol mereka. Kerapkali beliau berjaya menampan atau menangkap kemas sepakan-sepakan kencang jentera serangan Selangor.

Perlawanan penuh tamat dengan keputusan 0-0.

Tambahan masa diberikan oleh pengadil perlawanan sebanyak 30minit menyaksikan pelbagai serangan yang bertali arus dari jentera serangan Kelantan. Saat yang ditakuti oleh penyokong Red Giant muncul pada minit ke-4 tambahan masa apabila penyerang Kelantan berjaya menanduk masuk gol pertama setelah beliau tidak dikawal baik oleh pertahanan Selangor. Dan gol tersebut menggamatkan penyokong Red Warriors di stadium.

Selangor tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Kapten Selangor, Amri Yahyah sekali lagi menjadi penyelamat apabila melakukan ground header di sebelah kanan pintu gol Kelantan dan gagal ditampan oleh penjaga gol mereka sekaligus menjadikan kedudukan terikat 1-1. Kedudukan ini terus berkekalan sehingga masa tambahan tamat dan memaksa perlawanan dilanjutkan ke sepakan penalti untuk mencari juara!

Pengalaman menyaksikan bahawa Selangor masih gah untuk terus menjulang Piala FA apabila berjaya dalam sepakan penalti dengan jumlah jaringan gol 4-1! Gol-gol penalti Selangor dijaringkan oleh Khairul Anuar Baharom, D.Surendran, Nasriq Baharom dan disudahkan dengan sempurna oleh Safee Sali sekaligus menyaksikan kem Selangor melompat gembira disusuli sorakan gemuruh dari puluhan ribu penyokong Selangor yang berada di Stadium Bukit Jalil seawal jam 5 petang lagi! Dan ini sekaligus menyaksikan Kelantan sekali lagi pulang hampa setelah gagal melakukan sejarah untuk memenanginya musim ini! Dengan kemenangan Selangor kali ini, maka skuad Red Giant telah berjaya menambah koleksi kejuaraan Piala FA buat kali ke-5.

Tahniah dari Warga Selangor Fanatik buat keseluruhan kem Selangor Darul Ehsan. We are the CHAMPION!

No comments:

Post a Comment